Falling object

Snow

TEXT

Running lamp

Sunday, 2 December 2012

Kesalahan Tatabahasa yang Sering Dilakukan oleh Para Pelajar



Konsep Tatabahasa
Menurut Tatabahasa Dewan, aspek tatabahasa menyentuh kepada dua sudut, iaitu melibatkan cara perkataan dibentuk daripada bunyi-bunyi bahasa dan cara perkataan disusun menjadi ayat. Huraian di peringkat perkataan disebut morfologi, manakala huraian di peringkat ayat disebut sintaksis.

Kesalahan Tatabahasa
Kebanyakan pelajar  yang mempelajari bahasa Melayu   lemah dalam penguasaan tatabahasa bahasa Melayu. Di bawah adalah antara kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh para pelajar.

1.0 Kesalahan aspek kata dibataskan kepada:
1.1 - kesalahan penggunaan imbuhan

Contoh kesalahan
 Saya suka membacaan dan mendengaran Al-Quran.
Ayat yang betul
 Saya suka membaca dan mendengar bacaan Al-Quran.

Dalam ayat di atas, penggunaan imbuhan apitan ‘meN – an’ menyalahi imbuhan pada kata dasar ‘baca’. Kata kerja ini perlu menerima imbuhan awalan ‘meN-’ iaitu ‘membaca’ dan‘mendengar’ untuk membentuk kata kerja aktif transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap maksud iaitu ‘bacaan Al-Quran’. Kata ‘bacaan’ ditambah supaya ayat tersebut lebih gramatis.

Contoh kesalahan
 Saya mahu kongsi cerita dengan kawan-kawan.
Ayat yang betul
 Saya mahu berkongsi cerita dengan kawan-kawan.

Awalan ‘beR-’ dalam ayat di atas perlu diimbuhkan pada kata kerja ‘kongsi’ untuk membentuk kata kerja aktif transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap maksud iaitu‘cerita’.

1.2 - kesalahan penggunaan kata hubung

Contoh kesalahan
Sumiah ialah budak yang rajin, dia suka tolong mak memasak.
Ayat yang betul
Sumiah ialah budak yang rajin dan suka menolong emak memasak.

Pelajar melakukan kesalahan tatabahasa kerana tidak menggunakan kata hubung gabungan ‘dan’ dalam ayat di atas. Kata hubung ‘dan’ perlu untuk menghubungkan dua klausa ayat di atas. Selain itu, pelajar turut melakukan kesalahan pada kata kerja ‘tolong’ dan kata nama‘mak’.

Contoh kesalahan
 Keluarga saya baik dan ramai dan lucu.
Ayat yang betul
Keluarga saya ramai, baik dan lucu.

Kata hubung ‘dan’ perlu digunakan sekali sahaja dalam ayat di atas bagi menghubungkan klausa yang sama tara sifatnya iaitu ‘Keluarga saya ramai’, ‘Keluarga saya baik’ dan ‘Keluarga saya lucu’.

1.3 - kesalahan penggunaan pemeri

Contoh kesalahan
 Saya suka ialah manggis.
Ayat yang betul
 Saya suka akan manggis.  Atau  Saya menyukai manggis.

Walaupun kata pemeri ‘ialah’ di atas digunakan di hadapan kata nama, namun  penggunaannya menyalahi struktur ayat bahasa Melayu kerana kata adjektif tidak boleh disusuli oleh kata pemeri ‘ialah’ atau ‘adalah’. Oleh itu, kata pemeri ‘ialah’ perlu digugurkan. Selain itu,  kata adjektif ‘suka’ yang membawa maksud perasaan/emotif memerlukan pelengkap iaitu kata sendi nama ‘akan’ dan perlu disusuli oleh kata nama atau frasa nama. Sebagai contoh, ‘Saya suka akan manggis’. Kata adjektif ‘suka’ juga boleh menerima imbuhan apitan ‘me – i’ yang berfungsi sebagai kata kerja transitif dan disusuli oleh kata nama ‘manggis’ sebagai objek. Sebagai contoh, ‘Saya menyukai manggis’.

Contoh kesalahan
Durian adalah buah yang paling terkenal di Malaysia.
Ayat yang betul
Durian ialah buah yang paling terkenal di Malaysia.

Berdasarkan ayat di atas, didapati pelajar menggunakan kata pemeri ‘adalah’
di hadapan kata nama. Oleh itu, kata pemeri ‘adalah’ perlu digantikan dengan kata pemeri
‘ialah’. Selain itu, terdapat kesalahan ejaan bagi kata ‘buah’ yang dieja ‘bulah’.

2 0 Kesalahan aspek frasa dibataskan kepada:
2.1 - kesalahan penggunaan frasa nama

Contoh kesalahan
Itu negara ada banyak musim.
Ayat yang betul
 Negara itu ada banyak musim.

Frasa nama ‘Itu negara’ dalam ayat di atas tidak tepat kerana unsur penerang iaitu ‘Itu’ mendahului unsur inti iaitu ‘negara’. Oleh itu, binaan frasa nama yang tepat ialah ‘Negara itu’.

Contoh kesalahan
Saya mempunyai adik seorang laki-laki.
Ayat yang betul
Saya mempunyai seorang adik lelaki.

Frasa nama ‘adik seorang’ dalam ayat di atas tidak tepat kerana unsur penjodoh bilangan iaitu ‘seorang’ harus menjadi penerang jumlah kepada frasa nama iaitu ‘adik lelaki’. Oleh itu, binaan frasa nama yang tepat ialah ‘seorang adik lelaki’. Kata ‘laki-laki’ digantikan dengan ‘lelaki’ berdasarkan sistem ejaan baharu.
2.2 - kesalahan penggunaan frasa kerja

Contoh kesalahan
Kakak memiliki sangat cantik kereta.
Ayat yang betul
Kakak memiliki kereta yang sangat cantik.

Penggunaan frasa kerja dalam ayat di atas tidak tepat kerana kata kerja transitifmemiliki’ perlu diikuti oleh objek yang terdiri daripada kata nama iaitu ‘kereta’. Oleh itu, frasa kerja yang tepat bagi ayat di atas ialah ‘memiliki kereta’. Selain itu, penggunaan kata hubungyang’ perlu untuk memancangkan dua ayat. Ayat yang pertama ialah ‘Kakak memiliki kereta’ dan yang kedua ialah ‘Kereta sangat cantik’. Dalam ayat pancangan, pengulangan kata ‘Kereta’ hendaklah digugurkan.

Contoh kesalahan
...sebab durian banyak vitamin dan nutrien.
Ayat yang betul
…sebab durian mengandungi banyak vitamin dan nutrien.

Menurut tatabahasa bahasa Melayu, kata kerja (transitif atau tak transitif) mesti hadir sebelum objek /
pelengkap ayat. Ayat di atas menunjukkan pelajar tidak menggunakan kata kerja sebelum objek/pelengkap ayat. Oleh itu, kata kerja ‘mengandungi’ perlu hadir untuk berfungsi sebagai binaan frasa kerja yang tepat.

2.3 -  kesalahan penggunaan frasa sendi nama

Contoh kesalahan
Banyak buah-buahan ke pasar raya Tesco.
 Saya datang di Johor.
Ayat yang betul
Banyak buah-buahan di pasar raya Tesco.
Saya datang ke Johor. atau
Saya pergi ke Johor. atau
Saya ke Johor.

Berdasarkan ayat-ayat di atas, pelajar didapati keliru dalam penggunaan kata sendi nama ‘ke’ dan ‘di’. Kata sendi nama ‘ke’ digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan arah atau tempat yang dituju dan ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Kata sendi nama ‘di’ pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat dan ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama.
Penggunaan kata sendi nama ‘ke’  hendaklah digantikan dengan kata sendi nama ‘di’ yang merujuk tempat iaitu pasar raya. Kata sendi nama ‘di’ pula perlu digantikan dengan ‘ke’ untuk menunjukkan arah.

Contoh kesalahan
Saya pergi ke pasar malam di Rabu.
Ayat yang betul
 Saya pergi ke pasar malam pada hari Rabu.

Penggunaan kata sendi nama ‘di’ di dalam Jadual 14 didapati tidak tepat. Kata sendi nama ‘pada’ lebih tepat digunakan untuk menunjukkan keterangan waktu atau masa.

Contoh kesalahan
Berpuasa di Malaysia berbeza dari berpuasa di negara saya.
Ayat yang betul
Berpuasa di Malaysia berbeza daripada berpuasa di negara saya.

Penggunaan kata sendi nama ‘dari’ di dalam dalam ayat di atas  didapati tidak tepat kerana menurut tatabahasa bahasa Melayu, kata sendi namadari’  hendaklah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah atau masa. Kata sendi nama ‘ daripada’  pula hadir di hadapan kata kerja atau frasa kerja apabila digunakan untuk menyatakan perbezaan atau perbandingan. Oleh itu, frasa sendi nama yang tepat dalam ayat di atas ialah ‘daripada berpuasa’ untuk menunjukkan perbezaan pengalaman berpuasa antara Malaysia dengan negara asal pelajar.

 3.0 Kesalahan aspek ayat dibataskan kepada:
3.1 - kesalahan struktur ayat tunggal

Contoh kesalahan
Saya nama Anas.
Ayat yang betul
Nama saya Anas.

 Konstituen subjek (frasa nama) dalam ayat di atas tidak tepat kerana unsur penerang mendahului unsur inti. Oleh itu, frasa nama yang tepat dalam ayat ini ialah ‘Nama’ sebagai unsur inti dan ‘saya’ sebagai unsur penerang. Kesalahan dalam ayat di atas juga berlaku disebabkan gangguan bahasa ibunda atau bahasa kedua pelajar. Pelajar menggunakan struktur ayat bahasa  Inggeris iaitu ‘My name’ yang diterjemahkan sebagai ‘Saya nama’ dalam bahasa Melayu.

Contoh kesalahan
 Di Kulliyyah Ekonomi saya abang belajar.
Ayat yang betul
 Di Kulliyyah Ekonomi abang saya belajar.

Kesalahan Ayat yang Frasa nama dalam subjek ayat di atas tidak tepat kerana unsur penerang mendahului
unsur inti. Oleh itu, frasa yang tepat bagi subjek ayat di atas ialah ‘abang saya belajar’. Kesalahan aspek ejaan iaitu ‘Eknomi’ turut didapati dalam ayat di atas.

Contoh kesalahan
Ayah kerja saya guru.
Ayat yang betul
Ayah saya bekerja sebagai guru.

Susunan kata dalam ayat di atas tidak menepati konstituen subjek dan predikat. Ayat tersebut hendaklah dimulakan dengan frasa nama ‘Ayah saya’ sebagai subjek ayat, diikuti kata kerja ‘bekerja’ dan frasa nama
‘sebagai guru’ sebagai predikat ayat. Selain itu, awalan ‘be-’ perlu diimbuhkan pada kata kerja’ agar ayat tersebut lebih gramatis.

3.2 - kesalahan struktur ayat saduran

Contoh kesalahan
 Orang Muslim suka makan buah-buahan.
Makanan saya untuk iftar adalah nasi ayam.
Contoh buah-buahan apple, orange, tembikai, nenas dan sebagainya.
To sum up, semua buah-buahan mempunyai saiz, warna dan rasa yang berbeza-beza.
Saya ada sebelas siblings… Father saya umur enam puluh tiga.
Ayat yang betul
 Orang Islam suka makan buah-buahan.
Makanan saya semasa berbuka puasa ialah nasi ayam.
Contohnya, buah-buahan seperti epal, oren, tembikai, nenas dan sebagainya.
Kesimpulannya, semua buah-buahan mempunyai saiz, warna dan rasa yang berbeza-beza.
Saya ada sebelas orang adik-beradik… Ayah saya berumur enam puluh tiga tahun.

Dalam contoh ayat-ayat di atas, terdapat kata saduran daripada bahasa Arab/bahasa Inggeris iaitu ‘Muslim’ yang membawa maksud ‘orang Islam’. Perkataan ‘iftar’ dalam sampel ayat  pula ialah saduran daripada bahasa Arab yang bermaksud ‘berbuka puasa’. Didapati pelajar melakukan kesalahan dalam mengeja nama buah-buahan. Pelajar menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris seperti ‘apple’ dan ‘orange’ yang sepatutnya dieja ‘epal’ danoren’. Begitu juga dengan contoh ayat  yang menggunakan kata saduran daripada bahasa Inggeris iaitu ‘To sum up’ yang membawa maksud ‘Kesimpulannya’. Selain itu, ayat yang menggunakan kata ‘siblings’ bagi kata ‘adik-beradik’ dan ‘Father’ bagi kata ‘Ayah’

4.0 Kesalahan aspek ortografi dibataskan kepada:

4.1 Kesalahan  ejaan

Ejaan salah
Ejaan betul
Ejaan salah
Ejaan betul
 Tengoh
 tembaik
pissang
kerita
umor
antrabansa
police
kutching
tengok
tembikai
pisang
kereta
umur
antarabangsa
polis
kucing
mirah
bebuntuk
dari padi
purumpuan
menggu
keluai
kampong
belom
merah
berbentuk
daripada
perempuan
minggu
keluar
kampong
belum

4.2 - huruf besar/kecil

Contoh kesalahan
kulitnya juga berkhasiat dan boleh digunakan…
malaysia ada banyak buah-buahan tempatan. Buahbuahan ada yang musim…
Saya tinggal di istanbul.
Keluarga saya tinggal Di Palestine. Ayah saya kerja Di kedai…
Ayat yang betul
 Kulitnya juga berkhasiat dan boleh digunakan…
Di Malaysia ada banyak buah-buahan tempatan. Buah-buahan ini ada yang bermusim…
Saya tinggal di Istanbul.
Keluarga saya tinggal di Palestin. Ayah saya bekerja di kedai…

Berdasarkan contoh-contoh ayat di atas,  didapati menggunakan huruf kecil pada pangkal ayat dan kata nama khas. Pelajar-pelajar  berkemungkinan dipengaruhi bahasa  Arab kerana tiada huruf besar mahupun huruf kecil dalam tulisan bahasa Arab. Adakala pelajar  menggunakan huruf besar pada kata sendi ‘di’ di pertengahan ayat. Selain itu, pelajar turut melakukan kesalahan tatabahasa lain seperti aspek imbuhan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Alam Bahasa Melaysia

Bahasa Malaysia Kertas 1(Teknik Menjawab)

Bahasa Melaysia Kertas 2 Bahagian C